CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

ASSIGNMENT 2: PENULISAN ILMIAH

Definisi Pelajar Pintar Cerdas

Terdapat pelbagai pandangan dan pendapat mengenai konsep pelajar pintar cerdas ini. Stanford Binet (1916), orang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford-Binet Test” telah memberikan definisi pintar cerdas sebagai merujuk kepada keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Lewis Terman (1916), pula memberi definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang berkebolehan untuk berfikir secara abstrak. Di samping itu, Marland (1972), telah mengemukakan satu definisi pelajar pintar cerdas yang diterima pakai oleh Jabatan Pendidikan Negara, Amerika Syarikat pada tahun 1972.

Definisi Marland, (1972), dalam S.Deborah, (1998: hal. 277) iaitu:
“Gifted and talented children are those identified by professionally qualified persons who by virtue of outstanding abilities are capable of high performance. These are children who require differentiated educational programs and services beyond those normally provided by theregular school program in order to realize their contribution to self and society. Children capable of high performance include those with demonstrated achievement and/or potential ability in any of the following areas singly or in combination:
1. General intellectual aptitude
2. Specific academic aptitude
3. Creative or productive thinking
4. Leadership ability
5. Visual and performing arts

Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira potensi dan keperluan setiap individu pelajar. Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi telah memiliki potensi dan bakat yang boleh diperkembang dan dipertingkatkan. Dewasa kini mereka telah terdedah lebih awal dengan pelbagai sumber maklumat. Fenomena ini sedikit sebanyak boleh memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal, kognitif, psikomotor dan emosi mereka, terutama di kalangan mereka yang dikenali sebagai pelajar pintar cerdas. Pelajar yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusianya lebih dikenali sebagai kanak-kanak pintar cerdas(gifted).

Pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Bagi mengembangkan potensi 32 dan bakat mereka dengan lebih sistematik dan berkesan, suatu program pendidikan khusus amat diperlukan.  Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat boleh dikenalpasti berdasarkan ciri-ciri am dan ciri-ciri spesifik seperti yang dihuraikan berikut:
1.            Ciri-ciri am kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat
#          mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi
#          mempunyai sifat ingin tahu yang amat kuat dan ketara
#          mempunyai potensi kreativiti dan sensetiviti
#          menunjukkan motivasi yang kuat
#          mempunyai perasaan afektif yang tinggi
2          Ciri-ciri spesifik kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat
Ciri-ciri spesifik yang dimanifestasi oleh kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat boleh ditinjau daripada dua aspek iaitu:
a)    Ciri-ciri aspek positif
#          boleh belajar dengan mudah dan cepat
#          Dapat mengukuhkan dan mengekalkan dalam ingatan apa yang dipelajari tanpa banyak latihan berulang-ulangan.
#          menunjukkan sifat ingin tahu terhadap bidang dan skop yang mendalam dengan kerap kali bertanya serta membaca.
#          memperolehi perbendaharaan kata yang banyak dengan ditonjolkan dalam pemikiran dan pendapatnya.
#          suka membaca bahan-bahan di paras kematangan
#          menunjukkan minat terhadap rekaan dan ciptaan yang canggih
#          menguasai kemahiran pemikiran kognitf dengan cekap, jelas dan tepat serta berupaya memahaminya dengan cepat.
#          berupaya membuat generalisasi, mempersepsi perkaitan dan membuat assosiasi secara logis.
#          cekap menyiasat, menjadual, mengelasifikasi, mengumpul, menginferensi dan melapor.
#          mengetahui dan menaruh minat terhadap banyak perkara dan peristiwa di mana kanak-kanak biasa tidak pernah menyedarinya.
#          berminat terhadap asal-usul manusia dan alam persekitarannya.
#          suka berkawan dengan kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih matang daripada kanak-kanak sebaya.
#          mempunyai sifat lucu dan sering nampak riang
#          Mempunyai keinginan yang kuat untuk menunjukkan kehebatannya.

b)    Ciri-ciri aspek negatif
#          hiperaktif dan tidak boleh berdiam diri, tidak boleh menumpukan perhatian dan sering mengganggu rakan-rakan disekelilingnya.
#          silap dalam ejaan, tulisan kurang kemas atau silap dalam kira mengira kerana kekurangan kesabarannya.
#          sikap acuh tak acuh terhadap kerja yang diberikan oleh guru.
#          suka mencari kelemahan dan mengkritik secara terbuka rakan-rakan dan guru-gurunya.

Di Malaysia, pada masa yang lalu, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat adalah diberikan peluang menyertai aktiviti pengayaan semasa aktiviti kumpulan dalam kelas biasa, selaras dengan objektif-objektif Pendidikan Khas untuk kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat yang disenaraikan berikut oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 1982.
1.         Meluaskan lagi pengetahuan dan pengalaman mereka.
2.         Menjalani  kegiatan-kegiatan pembelajaran yang lebih mencabar.
3.         Menggunakan masa lapang mengikut minat dan bakat mereka.
4.         Meminati dan menguasai bacaan luas dengan merujuk kepada pelbagai bahan dan sumber maklumat.
5.         Memupuk minat untuk belajar sendiri.
6.         Melahir atau mengembangkan daya cipta atau kreativiti.
7.         Memajukan kualiti kepimpinan.

Latar Belakang Kajian
Golongan pelajar pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962. Dalam Sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh sekolah rendah mereka daripada 6 tahun kepada 5 tahun sahaja. Perlaksanaan sistem ini telah diberhentikan pada awal tahun 1970an. Namun demikian pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan Mengenai Kanak-kanak Bergeliga telah diadakan. Ekoran daripada Simposium tersebut isu kanakkanak pintar cerdas ini kembali diperkatakan. Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1983, bertujuan untuk mengenal pasti individu pintar cerdas. Pada tahun 1985, pihak Universiti Malaya pula telah mengorak langkah memulakan Program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas. Manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987. Menyedari tentang kepentingan untuk memberi perhatian terhadap program pendidikan khusus untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Hasil 33 daripada seminar tersebut, didapati bahawa perancangan dan pelaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas serta berbakat. Ekoran dengan itu, pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilaksanakan ke atas pelajar-pelajar Tahun Tiga sekolah rendah. Pelajar yang berjaya memperolehi tahap maksimum dibenar meneruskan persekolahan ke Tahun 5, tanpa perlu mengikuti persekolahan Tahun 4. Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja.  Program PERMATA Pintar yang telah dilancarkan pada bulan Mac 2008 di UKM merupakan satu usaha murni bertujuan untuk mengenal pasti pelajar pintar cerdas yang berada di seluruh Malaysia. Ia bertujuan untuk menyediakan satu program yang boleh membina suasana pembelajaran yang dapat merangsang minda mereka untuk terus menjadi insan yang kreatif dan inovatif selari dengan keperluan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.  Ujian dalam talian UKM1 merupakan saringan pertama untuk mencari pelajar-pelajar pintar cerdas berusia 8 hingga 15 tahun bagi menyertai Program PERMATApintar Negara.
  • Pelajar berusia 9-15 tahun untuk program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Pelajar beragama Islam berusia 8 tahun (darjah 2 pada tahun 2011) untuk program Permata Insan di Universiti Sains Islam Malaysia.
  • Pelajar berusia 15 tahun (tingkatan 3 pada tahun 2011) untuk menyertai program Pendidikan Menengah Tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012.
Ini adalah satu-satunya program yang dapat membantu anak-anak pintar cerdas untuk terus menerima kaedah pembelajaran yang berbeza bagi membantu mereka menjana pembentukan budaya ilmu baru dan membentuk rasa cinta terhadap pengetahuan sehingga dapat menjadikan mereka khazanah negara yang begitu berharga. Usaha mengenal pasti pelajar pintar cerdas seterusnya telah dilakukan dengan gigih melalui dua ujian saringan yang ketat iaitu Ujian Permata Pintar UKM 1 dan UKM 2. Pelaksanaan program cuti sekolah untuk kanak-kanak pintar cerdas dengan kerjasama Johns Hopkins University-Center for Talented Youth di Amerika Syarikat iaitu dikenali Program Perkhemahan Cuti Sekolah.  Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti salah satu dari sembilan kursus yang di tawarkan mengikut umur mereka. Kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti Kriptologi, Pengenalan kepada Robotik, Reka cipta, Penaakulan Mantik, Menjadi Saintis, dan pelbagai kursus penulisan yang menggalakkan perkembangan minda yang kreatif. Pelajar telah diasak untuk mencabar minda mereka dan berfikir di luar kotak (think outside the box), menukar cara mereka menyelesaikan masalah dari satu format yang linier kepada penyelesaian yang pelbagai. Justeru, mereka bukan sahaja diasah mindanya supaya menjadi tajam, tetapi juga dibantu membentuk keperibadian unggul agar menjadi insan cemerlang di masa hadapan. Ini memang merupakan satu usaha yang sukar terutama apabila program yang dijalankan mengambil masa hanya tiga minggu sahaja.  Program perkhemahan tersebut juga telah dilaksanakan sebagai satu program pembelajaran yang holistik. Pelajar telah diberikan pelbagai aktiviti rekreasi yang mencabar kebolehan mereka, di samping mendedahkan mereka kepada aktiviti kerohanian, sukan dan kebudayaan. Sementara itu, usaha berterusan telah di rancang bagi menampung minat belajar dan membantu mereka mengatasi kesan "big fish in a little pond" yang biasa dirasai oleh pelajar-pelajar berkenaan dalam suasana sistem pendidikan yang biasa.
            Selain itu, Ujian Aptitud UPSR juga telah dilaksanakan untuk murid tahun 6 sekolah rendah mulai tahun 2009 seperti mana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat jawatankuasa Perancangan Pendidikan Ke-190 bertarikh 14 November 2008 yang dipengerusikan oleh Y.B Menteri Pelajaran. Ujian ini bertujuan mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperolehi (aquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran pembelajaran. Ujian ini dapat mengenal pasti potensi murid untuk mengikuti pembelajaran dan dapat membantu para guru mengetahui tentang bakat, minat dan kecenderungan diri murid supaya pembelajaran murid lebih mudah dilaksanakan dan dipertingkatkan.   Bahasa yang akan digunakan dalam Ujian Aptitud tersebut adalah menggunakan bahasa pengantar mengikut aliran sekolah masing-masing.  Ujian ini merupakan ujian berbertuk objektif aneka pilihan yang mengandungi 61 soalan. Tempoh masa adalah 1 jam 30 minit dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
a)         Bahagian 1 : Kemahiran berfikir (20 item)
b)         Bahagian 2 : Kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan (20 item)
c)         Bahagian 3 : Minat, kecenderungan dan kesediaan (21 item)

Di England, pintar merujuk kepada 5 peratus teratas dari semua populasi sekolah di dalam bidang akedemik manakala cerdas pula adalah 5 peratus teratas dari semua bidang lain. Pelajar pintar adalah mereka yang memilki kebolehan  tinggi untuk 1 atau lebih di dalam subjek akedemik. Mereka ini tidak perlu menjadi pintar untuk semua subjek. Pelajar cerdas pula adalah mereka yang mempunyai kebolehan tinggi dari segi sukan, muzik , lukisan atau seni persembahan.  
Di dalam mengenal pasti pelajar pintar cerdas definisi bagi pelajar pintar cerdas adalah perlu relatif terhadap program yang hendak dibangunkan. Ia adalah penting agar produk yang bakal diperolehi nanti bertepatan dengan matlamat dan kehendak program serta selari dengan kurikulum yang akan ditawarkan. Jadi kebanyakan pihak sekolah membuat definisi tersendiri ke atas pelajar pintar cerdas berdasarkan program yang akan dilaksanakan. Secara teknikal, di dalam pentaksiran pelajar pintar cerdas, kumpulan pelajar tersebut di kategorikan dalam individu  yang memperolehi skor tinggi bagi ujian IQ ataupun berprestasi cemerlang di dalam akademik serta cenderung terhadap kepintaran sesuatu bidang.
Pengenalpastian dan pentaksiran bagi pelajar pintar cerdas adalah suatu proses menandakan pelajar pintar cerdas mengikut kategori kepintaran khusus mereka. Ianya bukanlah suatu proses untuk membangunkan kepintaran dan kebolehan para pelajar tersebut. Bagi kesemua ciri-ciri pintar cerdas juga dikatakan sebagai kecenderungan khusus. Pintar cerdas adalah satu anugerah yang membuka jalan dalam membangunkan kebolehan spesifik, bakat dan kecenderungan. “ Talent “ adalah kebolehan spesifik seperti kebolehan di dalam bidang muzik, politik, seni dan banyak lagi bidang.

Kriteria  Pengenalpastian
Gardner ( 1996 ) memberi penekanan pelbagai faktor di dalam setiap prosedur pengenalpastian dan pentaksiran yang dibangunkan  ke atas pelajar pintar cerdas. Teori kemanusiaan perlulah menjadi ciri utama di dalam setiap prosedur yang dibina. Walaupun begitu, prosedur ataupun kaedah pengenalpastian dan pentaksiran yang diguna pakai pada ketika itu masih diragui ketepatan keputusannya. Kualiti pengukuran juga boleh dipertikaikan. Ini kerana tidak terdapat satu piawaian yang boleh menentukan kesahan dan kebolehpercayaan di dalam prosedur atau pendekatan yang digunakan itu. Maka apa juga pendekatan yang digunakan pada masa itu akan menimbulkan isi kesahan dan kebolehpercayaan ke atas keputusan yang diperolehi. Rentetan daripada permasalahan yang timbul, pelbagai usul dan cadangan telah diutarakan. Oleh kerana dikalangan individu yang pelbagai terdapat bermacam-macam kebolehan dan kepintaran satu standard piawaian telah ditetapkan kriterianya dari segi ujian yang dilaksanakan, gred yang digunapakai oleh pihak sekolah, rujukan, ujian kreativiti dan banyak lagi.

Mengenalpasti Pelajar Pintar Cerdas Di Dalam Populasi
Proses mengenalpasti individu pelajar pintar cerdas dan kecenderungan spesifik mereka sebenarnya sesuatu perkara yang sukar dan mencabar. Di sebabkan ada sesetengah bentuk prosedur ataupun pendekatan yang digunakan tidak mebuat pengujian secara holistik ke atas kriteria-kriteria yang sepatutnya, maka telah berlaku situasi terlepas pandang ke atas segelintir pelajar yang sepatutnya tergolong dalam kumpulan pelajar pintar cerdas. Frasier ( 1994 ), telah menulis satu kaedah dan prosedur dalam mengenalpasti kanak-kanak pintar . Beliau mengambil kira kebolehan spesifik di kalangan populasi minoriti. Ini bermaksud setiap instrumen yang diberikan kepada para pelajar akan mengandungi bidang-bidang pengujian yang dipisahkan mengikut pelbagai kecenderungan. Menurut ‘ The National Association For Gifted Children Communittee On Special Population ‘ , dalam menegenalpasti dan mentaksir pelajar pintar cerdas, golongan ini merupakan kanak-kanak yang mempunyai pencapaian akademik yang luar biasa daripada kanak-kanak yang pandai yang dibangunkan kebolehannya. Jadi satu prosedur yang praktikal haruslah digunakan agar keputusan yang diperolehi adalah bertepatan dan sahih. Sebagai panduan dan memudahkan proses pengenalpastian dan pentaksiran dibuat, terdapat tiga pendekatan yang telah diperkenalkan. Antaranya ialah :
a ) Standard Score Method
Ø  Merangkumi kesemua teori yang relevan dengan program yang ingin dibangunkan
Ø  Digunakan untuk mengenalpasti beberapa gabungan kecenderungan
Ø  Mementingkan hak ekuiti pelajar
b ) Multiple Cutoff Method
Ø  Mengambil kira skor pelajar – jika pelajar melepasi had markah ujian yang telah ditetapkan secara automatik dia akan terpilih ke dalam program.
Ø  Pendekatan ini mempunyai kelemahan kerana set pelajar yang dipilih adalah secara rambang, tidak mempunyai bukti yang mencukupi begitu juga dengan sumber rujukannya yang terlalu limit.
c ) Multiple Regression Method
Ø  Menghubungkaitkan beberapa pendekatan yang digunakan di dalam proses pengenalpastian.
Ø  Mencari satu hubungkait di dalam gabungan pendekatan dengan mengukur pencapaian pelajar di awal dan di akhir program.
Ø  Pendekatan ini adalah berdasarkan andaian/anggapan daripada sintesis bagi data pengenalpastian yang dibuat mempunyai  hubungan yang tepat bahawa pelajar tersebut akan berjaya di dalam program.


Mengenalpasti Kebolehan Spesifik
Bagi mengenalpasti kecenderungan pelajar di dalam sesuatu bidang secara spesifik Feldhusen ( 1999 ), mencadangkan kebolehan dan kepintaran individu pelajar adalah menerusi akademik, seni, vokasional dan aktiviti sosial. Antara beberapa set diagnostik pengenalpastian dan pentasiran yang boleh digunakan adalah :
a ) Scale For Rating The Behavioral Characteristics Of Superior Students oleh Renzulli
Ø  Terdapat 10 kemahiran yang dinilai di dalam set ini. Penilaiannya merangkumi kecenderungan di dalam seni, muzik, drama, pembelajaran, kepimpinan, motivasi, ketepatan di dalam komunikasi, kreativiti, perancangan dan kebolehan ekspresi.
b ) Academic Rating Scale
Ø  Menilai keseluruhan kepintaran bagi akademik, sebagai contoh kepintaran di dalam matapelajaran matemati, sains, bahasa dan lain-lain matapelajaran
c ) The Vocational – Technical Rating Scale oleh Feldhusen
Ø  Set ini menilai kecenderungan pelajar di bidang agrikultur, perniagaan dan aktiviti interpersonal
d ) Gardner,s Multiple Intelligence Framework
e ) Multiple Intelligence Assesment Technique oleh Udall dan Passe

Merancang pentaksiran
Kita telah memahami ciri-ciri mereka yang pintar cerdas. Pengetahuan ini sangat berguna untuk membantu kita memerhatikan dan memahami diri kita, rakan kita, keluarga kita ataupun mana-mana individu agar dapat mengenalpasti individu-individu terutamanya pelajar kita sama ada mereka benar-benar cerdas atau berbakat. Untuk itu pentaksiran atau penilaian hendaklah dibuat terhadap golongan ini. Menurut Miller (1978) terdapat tiga persoalan yang harus dijawab semasa merancang untuk menjalankan pentaksiran ini.

1.    Kenapa hendak dinilai?
2.    Apa yang hendak dinilai?
3.    Bagaimana hendak menilai?

Kenapa hendak dinilai?
Proses-proses pentaksiran dan penilaian terhadap golongan pelajar ini dibuat dengan tujuan untuk :
1.         Mengenalpasti bakat dan kepintaran yang diperolehinya - Di sini , guru juga dapat mengenalpasti kecenderungan mereka ke dalam sesuatu bidang. Selain itu juga dapat mengetahui sejauh mana kemahiran atau bakat yang dimilikinya serta aras kemahiran semasanya. Penilaian hendaklah merangkumi kekuatan dan kelemahan pelajar. Ini adalah sebagai panduan untuk guru menyediakan pengalaman pendidikan dan juga perkembangan sosial pelajar berkenaan.

2.         Perancangan kurikulum – Setelah guru mengetahui aras kemahiran semasa dan kecenderungan seseorang pelajar, mudah bagi seseorang guru untuk membuat perancangan kurikulum untuknya. Memang tidak diwujudkan lagi kurikulum khas untuk golongan pelajar seperti ini. Apa yang seseorang guru boleh buat adalah memberikan projek atau aktiviti yang mencabar berbanding rakan sebayanya berdasarkan kepada tahap kemahiran semasa pelajar berkenaan di dalam sesuatu perkara. Dengan kata lain guru akan memberikan kerja yang sesuai dengan kecenderungan pelajar berkenaan.

3.         Klasifikasi – Pelajar ini akan diklasifikasi sebagai pelajar berbakat di kalangan rakan sebaya mereka . Jika terdapatnya aktiviti-aktiviti yang bersesuaian maka golongan ini akan dilibatkan berdasarkan kepada kecenderungan mereka.

4.         Penentuan program – Program-program yang disediakan mungkin tidak bersesuaian terhadap seseorang pelajar tetapi sesuai dengan pelajar yang lain. Setelah dikenalpasti melalui penilaian dan pentaksiran yang guru jalankan maka mudah bagi guru untuk menentukan program-program yang wajar pelajar ini ikuti.

Apa yang hendak dinilai?
Setelah seseorang guru mengenalpasti pelajar melalui pemerhatian, maka pelajar yang dijangkakan berbakat dan cerdas ini perlu melalui siri pentaksiran dan penilaian yang dapat mengenal pasti bidang atau domain yang dimilikinya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan bahawa adakah kemahiran yang dimilikinya didalam sesuatu bidang tersebut adakah bersesuaian dengan umurnya ataupun menjagkau daripada yang sepatutnya. Untuk itu seseorang guru perlu mendapatkan pandangan pakar-pakar yang berkaitan dengan bidang-bidang berkaitan.

Bagaimana hendak menilai?
Setelah difahami definisi pintar cerdas dan berbakat dan setelah memahami ciri-ciri pelajar pintar, cerdas dan berbakat (PCB) pendidik boleh mengenalpasti pelajar-pelajar PCB untuk disediakan pendidikan yang sesuai dengan keperluan unik mereka. Terdapat dua tahap didalam proses identifikasi siapakah pelajar yang perlu kepada pendidikan khas pintar cerdas.

a. Tahap pertama
 Proses mendapatkan maklum balas dari semua pihak dalam bentuk pencalonan pelajar. Pencalonan boleh dibuat oleh ibu bapa, guru, rakan-rakan, dan diri pelajar itu
sendiri. Pencalonan boleh dibuat dengan menggunakan senarai semak (check-list) dan skala pemarkahan (rating scales).

b. Tahap kedua
Proses mengenalpasti bidang-bidang atau domain kecerdasan serta
tahap kecekapan pelajar terbabit dalam bidang tersebut. Pada tahap ini pelajar
yang dicalonkan akan ditaksir oleh pakar untuk menentukan kemampuan pelajar
dalam bidang/domain berkenaan pada ketika itu. Alat-alat penaksiran termasuklah ujian kecerdasan (IQ), ujian kompetensi, ujian bagi menentukan domain kecerdasan dengan menggunakan ujian kecerdasan pelbagai (Multiple Intelligence-MI). Selain itu, pada tahap ini penilaian pakar juga boleh/perlu diambil kira bagi menentukan domain serta tahap kecerdasan seorang pelajar. Contohnya penilaian seorang pelukis untuk menentukan domain bakat dan tahap kecerdasan seorang pelajar yang berbakat dalam lukisan.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
Kanak-kanak pintar cerdas boleh dibantu melalui tiga jenis program: pengasingan, pemecutan (acceleration) atau pengayaan.
Dalam program pengasingan, kanak-kanak diasingkan daripada rakan sebaya di mana mereka disediakan kurikulum khas yang mampu menggalakkan kebolehan istimewa mereka.  Pengasingan ini bertujuan mengeluarkan kanak-kanak daripada kelas biasa yang tidak dapat membantu perkembangannya secara optima.
Program pemecutan pula boleh dilaksanakan dengan dua cara.  Satu cara ialah dimana kanak-kanak ini dikeluarkan daripada bilik darjah mereka untuk subjek-subjek spesifik.  Mereka dimasukkan ke kelas pada peringkat lebih tinggi yang sesuai dengan perkembangan mereka untuk subjek tersebut.  Maka mereka akan belajar dengan murid atau pelajar yang lebih tua daripada mereka.  Cara kedua ialah di mana murid tersebut disediakan dengan rancangan khas dalam kelas yang sama.  Rancangan ini membantu mereka belajar sesuatu bidang kemahiran mereka pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan rakan sebaya.
Program pengayaan melibatkan pendekatan yang menyediakan pengalaman pengayaan sama ada di dalam kelas atau di luar kelas.  Misalnya aktiviti tambahan seperti lawatan ke muzium atau perpustakaan Negara.  Selain itu guru boleh merancang projek atau aktiviti lain yang memrlukan murid mencari maklumat yang lebih mendalam tentang sesuatu topik dan dilakukan oleh murid secara bersendirian.

Kesimpulan
Aspek penting dalam pengajaran kanak-kanak pintar cerdas ialah sikap guru serta kemahiran guru dalam membantu kanak-kanak ini.  Guru perlu percaya bahawa pendidikan adalah untuk semua kanak-kanak.  Kesimpulannya, interaksi dengan persekitaran yang menyokong dan pembelajaran yang aktif boleh membantu perkembangan kanak-kanak ini.

RUJUKAN

Brualdi, A, C. (1996) 'Multiple Intelligences: Gardner's Theory. ERIC Digest', Eric Digests, [http://www.ericdigests.org/1998-1/multiple.htm. Accessed June 15, 2008]

Becker, K. A. (2003). History of the Stanford-Binet intelligence scales: Content and psychometrics. (Stanford-Binet Intelligence Scales, Fifth Edition Assessment Service Bulletin No. 1). Itasca, IL: Riverside Publishing.

Frasier, M. M., & Passow, A. H. (1994). Toward a new paradigm for identifying talent potential  (RM9412). Storrs: University of Connecticut, the National Research Center on the Gifted and Talented.

Feldhusen, J. F. (1994). Learning and cognition of talented youth. In J. Van Tassel-Baska (Ed.), Comprehensive curriculum for gifted learners (pp. 17-28). Boston: Allyn & Bacon.Feldhusen, J. F., & Kolloff, M. B. (1986). The Purdue three

Haliza Hamzah, Joy N.Samuel  (2009), Perkembangan Kanak-kanak.  Penerbit Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.


Hasan Mohd Ali (2007), Mendidik Anak Pintar Cerdas.  Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.


Mok Soon Sang (2010), Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.    Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. Ipoh.  

Marland, S., Jr. (1972). Education of the gifted and talented. (Report to the Congress of the United States by the U. S. Commissioner of Education). Washington, DC:  U.S. Government Printing Office.
Your pictures and fotos in a slideshow on MySpace, eBay, Facebook or your website!view all pictures of this slideshow

Popular Posts